Tuesday 22 February 2011

Tugasan pertama




gambar di atas menunjukkan kesalahan yang dilakukan dalam bahan-bahan penulisan masa kini.

1) Apakah kepentingan memahami peraturan bahasa dalam penulisan?

  Penulisan adalah proses untuk menyampaikan maklumat, idea mahupun pendapat kepada pembaca dengan berkesan dan tepat.Penulisan secara tidak langsung merupakan satu bentuk komunikasi tidak bersemuka. Penulis perlu memiliki keupayaan untuk menyampaikan mesej dengan tepat untuk difahami oleh pembaca. Oleh itu, aspek bahasa memainkan peranan penting dalam penulisan kerana bahasa merupakan satu medium pendekatan pemahaman kepada pembaca. Penulisan yang baik selalunya dikaitkan dengan penggunaan peraturan bahasa yang betul. Penggunaan kata ganti nama dan aspek-aspek tatabahasa merupakan contoh peraturan bahasa yang perlu dikuasai supaya dapat menimbulkan penulisan yang baik dan jelas.

 Kepentingan memahami peraturan bahasa dalam penulisan amat penting supaya laras kefahaman pembaca dapat dicapai. Penulisan yang mengikut peraturan bahasa akan mengekang pembaca menimbulkan kekeliruan dalam memahami konteks ayat yang ingin disampaikan oleh penulis. Sebagai contoh, gambar diatas merupakan kesilapan yang dilakukan dalam menyampaikan maklumat kepada pembaca. "AWAS DIBENARKAN TERJUN DI SINI' merupakan kesalahan peraturan bahasa yang dilihat dapat mengelirukan sesetangah pembaca kerana bukan semua pembaca dapat memahami ayat yang tersirat disebalik kenyataan tersebut. Antara kesalahan peraturan bahasa yang selalu dilakukan oleh penulis adalah kesalahan ejaan. Kesalahan ejaan boleh membuatkan pembaca memperlekehkan keupayaan penulis dalam sesebuah penulisan. Ini adalah kerana keupayaan seseorang penulis dalam bidang penulisan diukur melalui kesempurnaan peraturan bahasa dan keberkesanan pemahaman dari pembaca.

 Kesimpulannya, memahami peraturan bahasa dalam penulisan  mempunyai kepentingan yang jitu. Penggunaan peraturan bahasa yang betul dapat memperlihatkan keberkesanan penulis dalam aspek penulisan dan membuatkan pembaca jelas dan memahami maksud yang ingin disampaikan.

2) Perlukah kesemua genre penulisan mematuhi peraturan berbahasa?

Seri negeri gelaran diberi
Sebuah pulau cantik berseri
Bernaung di bawah sebuah negeri
Raja berdaulat Paduka Seri

Lautnya biru pantainya indah
Makam Mahsuri lagenda sejarah
Puteri Melayu tak mudah menyerah
Tujuh keturunan dimakan sumpah

Pulau lagenda dimakan sumpah
Tujuh keturunan tamatlah sudah
kIni makmur melimpah ruah
Semua penghuni tersenyum megah

 Petikan diatas merupakan salah sebuah genre penulisan. Genre penulisan merupakan klasifikasi yang terdapat dalam karya penulisan. Genre penulisan meliputi bentuk penulisan syair, sajak, pantun, novel dan cerpen. Genre penulisan kebiasaannya dikaitkan dengan teknik penulisan kreatif. Ini adalah kerana karya yang dihasilkan akan berbentuk hiburan, santai dan berunsurkan nasihat. Setiap bentuk genre penulisan yang dihasilkan mempunyai keistimewaan tersendiri yang dapat menarik minat pembaca.
 
 Pada pendapat saya, genre penulisan yang dihasilkan oleh penulis perlu untuk mematuhi peraturan bahasa. Genre penulisan merupakan penulisan berbentuk kreatif yang diilhamkan oleh penulis untuk mencipta sesuatu bentuk penulisan yang mudah, menarik dan difahami. Memang tidak dinafikan bahawa sesetengah genre penulisan berbentuk bebas tetapi peraturan bahasa tidak harus diketepikan kerana setiap genre penulisan mempunyai peraturan bahasa tersendiri yang telah ditetapkan. Jika genre bahasa tidak dipatuhi, maka keunikan sesebuah genre penulisan itu akan hilang. Sebagai contoh, penulisan Kesusteraan Melayu iaitu syair kebiasaannya menggunakan bahasa klasik yang mematuhi peraturan bahasa.
 
 Sebagai kesimpulan, sewajarnya genre penulisan mematuhi peraturan bahasa kerana keasliaan sesebuah genre penulisan tersebut dapat dipelihara. Selain itu, peraturan bahasa juga secara tidak langsung dapat memelihara penggunaan bahasa Melayu dan memartabatkan bahasa Melayu kepada semua.
 
3) Adakah bahan-bahan penulisan kini mematuhi peraturan berbahasa?

 Pada pendapat saya, bahan-bahan penulisan kini tidak mematuhi peraturan berbahasa. Hal ini bermakna bahawa penulis-penulis kini tidak mementingkan dan tidak mematuhi peraturan dalam berbahasa. Misalnya, penulisan blog yang kian popular di kalangan penulis. Penulisan blog tidak menitikberatkan peraturan berbahasa dalam menghasilkan penulisan yang berbentuk pendapat mahupun idea yang dicambahkan melalui blog. Kata singkatan, pencampuran antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris seolah-olah telah menjadi ikutan penulis kini. Ini adalah disebabkan kebebasan menulis tanpa mengambil kira aspek peraturan bahasa. Jelaslah bahawa kebanyakan bahan-bahan penulisan pada masa kini tidak mematuhi peraturan berbahasa sebagai asas dalam penulisan sesuatu karya.

 Kesimpulannya, bahan-bahan penulisan pada masa kini tidak mematuhi peraturan bahasa kerana penulis memandang ringan terhadap penggunaan bahasa yang digunakan. Penulis seharusnya mempunyai kesedaran terhadap hal ini kerana memahami peraturan berbahasa adalah penting dalam penulisan kerana boleh mempengaruhi hasil penulisan supaya berkualiti dan diiktiraf oleh pembaca.
 


No comments:

Post a Comment